Malam ini, aku pulang bertemankan hadiah kecil daripada nafsu dan segala rasa kejelikan pada tengkuk yang hanyir dipeluk tengit vodka dan likuer dan segala macam bau dari segala macam tubuh.
Kewarasan masih terkapai mahu timbul bernafas ke permukaan kemahuan.
Pecah.
Pecah.
Pecah.
Sebelum bangkit matahari, angin rakus dan bulan kesipuan rela menjadi saksi mengintai keangkuhan aku menunduk rebah ego moralis yang seharian mengongkong diri.
Aku biar seluruh tubuh yang terikat ini, dari cabang-cabang rambut yang basah hingga kaki yang resah, digomol tubi-tubian bass dan efek pelali, menolak keliaran jiwa hingga ke syurga yang paling manis. Aku biar kujur ini dikawal deria iblis yang berkabus. Aku lontar seulas-seulas cebis diri yang begitu laparkan kepuasan ini dengan lahapnya. Aku terbang dalam kerendahan akal. Aku berenang dalam kepanasan dada yang dijirus air suci.
Aku biar keterdesakan jiwa dalam pencarian kepuasan ini dimanipulasi renjat-renjat sentuhan yang sememangnya tidak berahi, tapi memerdekakan. Aku biar perasaan mono yang semak mengekang dipijak lunyai oleh ramas-ramas dan kucup-kucup pembalas dendam. Aku biar diri ini kosong daripda konsikuensi yang tidak perlu dititik-tolakkan. Aku julang sanjungan mata-mata, tangan-tangan dan geseran-geseran itu terhadap keliaran lagu badan. Setiap pelukan tanpa ikhlas itu membisik suatu keringanan pada jasad ini. Ini. Ini. Inilah yang tadi aku tadahkan.
Teguk lagi. Lagi. Lagi.
Sampai tiada secubit pun percik api dalam hati yang sunyi disogok kealpaan terlampau. Biar tumbang baris-baris kekecewaan, kesedihan dan kesunyian cliche.
Hempas badan. Telangkup akal. Teguk lagi dan lagi hingga akhirnya bila diri mulai bisa bernafas, aku kembali lagi ke realiti kelalaian yang menyesakkan.
Malam ini, aku pulang membawa segumpal kekesalan bodoh.
Dan seceliknya matahari nanti, aku mahu dibiarkan lagi. Biar aku terus dalam diri palsu, diri gadis sub-kultur kental aku, seperti kebiasaannya. Sampai bila.
3hb Julai, 2011.
No comments:
Post a Comment