Aku masih membujur. Terbotol dalam masa yang terhenti, kononnya meluang sedikit rasa bersama anak-anak kecil dalam fikiran. Kononnya berfikir tentang diri, tentang kehidupan, tentang nasib, dan tentang rasa itu sendiri. Aku selalu terjatuh dalam gaung keseparaan roh, mencari berjuta alasan untuk mengait gambar-gambar yang indah dan bahagia, yang harum rasanya, terang jalannya. Aku selalu hanyut dalam tarian melodi yang pelbagai alunnya, membawa bersama fragmen-fragmen hati yang terhakis, merawat seluruh deria dalam kepejaman mata.
Aku penat. Aku sesak. Bisik jiwa yang memberontak, yang menumbuk-numbuk dinding tubuh yang kian longlai. Aku mahu sesat di dalam mimpi yang cerah dan luas. Ah, sudah tak terkira lagi berapa ulas bulan sudah berselang tatkala jiwa sedang mengeluh, mengomel sendirian meminta dilepaskan daripada rasa yang sempit. Sendirian, kerana aku ini sudah buntu mencari perumah hati lain yang seiras dengan hati berkerikir dalam tubuh ini. Sendirian, kerana aku sendiri tidak tahu siapa musuh sebenar segala pegangan dalam diri yang diiakan ini.
Ah, masih ada esok. Dan lusa. Hingga tiada lagi senyum mentari dari celahan dedaun pagi.
No comments:
Post a Comment